Monday, August 31, 2009

ILMU AGAMA ITU DIAMBIL DENGAN JALAN TALAQI KEPADA GURU



Al-HamduliLlah Tuhan pencipta alam, wujud-Nya azali abadi, tidak berhajat kepada makhluk-Nya, Dia yang mencipta tempat maka wujud-Nya tanpa bertempat. Selawat dan salam ke atas junjugan besar kita Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda. Ketahuilah bahawa wajib ke atas setiap mukallaf mempelajari ilmu agama yang dinamakan sebagai ilmu fardu ain yang terbahagi kepada ilmu akidah dan ilmu hukum-hakam.

Antara ilmu akidah yang wajib ke atas setiap mukallaf mempelajarinya ialah beriman dengan Allah dan dengan apa yang telah didatangkan oleh Allah, dan beriman dengan Rasulullah dan dengan apa yang telah diberitahu oleh Baginda seperti:
1. Memahami makna dua kalimah syahadah
2. Sifat Allah yang wajib diketahui.
3. Mensucikan Allah dari apa yang tidak layak bagi-Nya.
4. Mempercayai kesemua perkara yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad yang terdiri daripada kisah-kisah terdahulu dan perkara yang akan berlaku sama ada di alam barzakh ataupun pada hari akhirat dan juga mempercayai perkara yang telah dinyatakan akan hukumnya halal ataupun haram.
5. Mempelajari dan mengetahui perkara-perkara yang boleh menyebabkan terkeluar dari agama Islam (murtad) seperti mengetahui jenis-jenis kufur supaya dia mampu mengelak dari berlaku murtad pada dirinya.

Antara perkara yang wajib ke atas setiap mukallaf mempelajarinya dari hal yang bersangkutan dengan hukum-hakam ialah mempelajari hukum-hakam solat seperti syarat-syaratnya, rukun-rukunnya, dan perkara yang membatalkan solat dan sebagainya.

Namun perlu diingatkan bahawa keseluruhan perkara-perkara ini tidak boleh diambil dengan hanya mentelaah atau membaca buku sahaja tanpa talaqqi dengan ulama yang dipercayai. Ini kerana berkemungkinan buku yang dibaca itu ada penyelewengan dan pendustaan yang ditokok-tambah atau dibuat-buat oleh sesetengah puak, atau tersalah cetak atau berkemungkinan pembaca memahami maksud yang tersirat di dalam buku agama yang dibaca dengan kefahaman yang menyalahi nukilan ilmu ulama salaf dan khalaf daripada suatu generasi kepada suatu generasi. Keadaan ini akan menyebabkan pembaca beramal dengan kefahaman yang salah dan merosakkan ibadah atau juga merosakkan akidah jika dia beriktikad dengan suatu akidah sesat yang mempercayai bahawa Allah itu menyamai dan menyerupai makhluk-Nya seperti beriktikad bahawa Allah berada di atas Arasy, di langit atau Dia berada di setiap tempat. Sedangkan antara akidah Islam yang sebenar ialah Allah Ada Tanpa Bertempat. Umumnya, mentelaah kitab semata-mata bukanlah cara pembelajaran para ulama salaf dan khalaf. Bahkan, sedangkan Nabi Muhammad sendiri pun bertalaqqi dengan Jibril ^alayhis-salam, apatah lagi kita yang bukannya nabi ini.

Salah seorang ulama besar dalam bidang hadith iaitu Al-Hafiz Abu Bakr Al-Khatib Al-Baghdadi berkata di dalam kitab beliau al-Faqih wa'l-Mutafaqqih:

لا يُؤْخَذُ الْعِلْمُ إِلا مِنْ أَفْوَاهِ الْعُلَمَاءِ
Bermaksud: "Ilmu (agama) hanya diambil daripada mulut ulama"

Oleh kerana itu, semestinya mempelajari perkara yang berkaitan agama daripada orang yang arif tentang agama lagi dipercayai yang dia juga mengambil ilmu agama daripada orang dipercayai, dan demikianlah seterusnya sehingga sampai kepada generasi sahabat. Sebahagian ulama salaf sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi dalam kitab al-Faqih wa'l-Mutafaqqih ada menyatakan:

الَّذِي يَأْخُذُ الْحَدِيثَ مِنَ الْكُتُبِ يُسَمَّى صَحَفِيًّا وَالَّذِي يَأْخُذُ الْقُرْءَانَ مِنَ الْمُصْحَفِ يُسَمَّى مُصْحَفِيًّا وَلا يُسَمَّى قَارِئًا
Bermaksud: "Orang yang mengambil hadis daripada kitab dinamakan sebagai sahafi, manakala orang mengambil bacaan al-Quran daripada mushaf dinamakan sebagai mushafi dan tidak dinamakan sebagai qari`"

Rasulullah telah bersabda:

مَن يُرِد اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ إنَّمَا الْعِلْمُ بالتَّعَلُّمِ وَإِنَّمَا الْفِقْهُ بالتَّفَقُّهِ
Bermaksud: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah baginya kebaikan maka dia akan mendalami ilmu agama, sesungguhnya ilmu agama diambil dengan belajar dan fiqh itu dengan mendalaminya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Al-Imam Ibnu Sirin berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانظُرُوا عَمَّنْ تَاْخُذُون دِينَكُم
Bermaksud: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agama ini ”. [Diriwayatkan oleh Muslim].

WaLlahu a^lam...


Dipetik dari : http://al-dununiyy.blogspot.com

TIPS MERAWAT SAKIT KEPALA



Assalamualaikum wbt>>

1. Baca Surah al-Fatihah
2. Selawat Syifa'
3. Ayat ke 19 Surah al Waqiah..
4. Makan panadol dan ingat ubat tidak dapat memberi bekas

Yang menyembuhkan adalah Allah Taala jua

Wallahu'alam

Sunday, August 30, 2009

PESAKIT HIV ISLAM DIRAWAT DI GEREJA !

GEREJA UNTUK PESAKIT HIV

LUAR GEREJA

LUAR GEREJA

PESAKIT HIV ISLAM DI GEREJA

Universiti Kehidupan – PESAKIT HIV ORANG ISLAM DALAM GEREJA

"Ustaz, boleh tak sampaikan sedikit kuliah dalam 10 minit pada saudara-saudara kita di sini" minta kak Liza.


Mmm, eee, kita taaruf dahululah ye, Nama saya…..


Inilah pertama kali dalam hidup saya, sejak bergelar ustaz, tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan.


Hari ini 23 Jun jam 12.30 tengah hari, saya bersama pesakit HIV positif. Pada hal ketika ini, penghuni semua sedang tidur, berehat setelah makan ubat. Tetapi mereka semua bangun kerana mendapat tahu seorang ustaz datang melawat mereka.


Saya tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan bukan kerana mereka pesakit HIV. Tetapi, tempat kami menyampaikan kuliah agama ini ialah di dalam sebuah gereja.


Tetapi inilah hakikatnya. Tempat perlindungan pesakit HIV bagi orang dewasa adalah di gereja. Orang bukan Islam yang menaungi mereka, dan sudah beberapa yang mati di sini.


Menurut Kak Liza, bagi pesakit HIV dewasa, tidak ada tempat perlindungan yang dibuat oleh orang Islam.


Majlis Agama Islam Selangor pernah bercadang untuk membuatnya, tetapi hingga sekarang belum menunjukkan apa-apa perkembangan.


Saya malu pada diri saya saat ini. Seolah-olah, saya diberi tahu,


"apa lah kamu orang Islam ni, cakap aje pandai, saudara seIslam yang sakit pun tidak dihiraukan".

Selesai taaruf, salah seorang dari mereka memberi tahu,


"Imam masjid sebelah selalu datang"


Hati saya menyapa:-


Kenapa tidak dibuat di masjid sahaja tempat perlindugan ini, bukannya tak ada tanah…"


"Pihak MAIS ada jugalah jengok kami, tapi jarang-jarang. Dalam sebulan sekali lah."


Hati saya menyapa:-


"Kena sampaikan ni, pada sahabat-sahabat dari MAIS. Kena buat sesuatu."


Saya masih kelu dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan. Tajuk apa yang saya nak sampaikan?

Tajuk Ukhuwah? Tajuk berkasih sayang sesama Islam? Tajuk "semua perkara ada hikmah"? Tajuk apa? Tajuk apa yang sesuai?


"Aduhai Tuhan.. kenapa aku di sini hari ini.." rintih hati saya atau lebih tepat:-


"Kenapa sekarang baru dapat tahu, kenapa tidak peka, kenapa tidak dari dulu lagi aku datang menjenguk sahabat-sahabat seIslam di sini.."


Akhirnya saya menyampaikan sedikit tazkirah, tak sampai dua minit. Saya hanya membicarakan mengenai kasih sayang Allah pada manusia. Semakin banyak saya berkata, semakin banyak hati saya berkata:-


"Ah… pandai cakap aje, apa yang kamu buat hah…"


Tazkirah di akhiri dengan sedikit ucapan dari kak Liza.


Majlis berakhir dengan bersalaman. Salah seorang penghuni, dengan suara yang rendah, berkata pada saya:-


"Ustaz.. terima kasih sebab datang ye.."


Nak menitik air mata saya melihat mereka. Dari mata mereka, mereka seolah-olah memberi tahu saya,


"Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"


Saya melangkah keluar dari dewan kuliah. Di sebelahnya terdapat salib. Yang masih boleh berjalan, menghantar saya hingga ke kereta.


Mereka melambai ke arah kami serombongan sambil berkata:-


"Nanti datang lagi ye.."


Van yang kami naiki menuruni cerun kawasan gereja. Hati saya tak putus-putus berdoa:-


"Ya Allah, selamatkan iman mereka. Ya Allah, beri kami kemampuan, dalam tahun ini insyaAllah, kami akan usaha mengeluarkan mereka dari gereja ini Ya Allah."


Kami meninggalkan tempat ini. insyaAllah, selepas saya pulang dari Turki nanti minggu depan, kita akan usahakan sesuatu, bisik hati saya.


Pada saya, mewujudkan tempat perlindungan ini dah taraf fardhu ain dah, ini kerana tidak ada lagi tempat perlindungan bagi orang dewasa seperti ini yang dibuat. Selagi ada orang Islam yang masih duduk di gereja ini, selagi itulah tanggung jawab ini tidak terlepas dari setiap bahu orang Islam.


Saya menyeru pada semua pembaca. Mari sama-sama kita usahakan. Jika ada niat, maka, insyaAllah, pasti ada jalan.

InsyaAllah, saya akan mewar-warkan pada semua jika ia akan dimulakan. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan keluarkan mereka dari gereja ini. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan usahakan rumah penjagaan bagi orang Islam.


Semoga sedikti niat ini mendapat bantuan ilahi, amin…


"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"


Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

KENANGAN BERSAMA PENGHUNI

KENANGAN BERSAMA PENGHUNI

Dari mata mereka, mereka seolah-olah memberi tahu saya, "Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"

Dari mata mereka, mereka seolah-olah memberi tahu saya, "Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"

BERSAMA PESAKIT HIV

BERSAMA PESAKIT HIV

Gambar Jesus di sana sini.

Gambar Jesus di sana sini.

Dewan kuliah di gereja ini

Dewan kuliah di gereja ini

DALAM GEREJA

DALAM GEREJA

KEMUDAHAN AMBULANS

KEMUDAHAN AMBULANS

Apa tindakan kita selaku profesional ISLAM?? Mari besama-sama berakhlak dengan akhlak ISLAM..

Catatan : Tujuan artikel ini dipamerkan adalah untuk kita umat Islam sama-sama mengembeling tenaga untuk mambantu saudara seagama kita.. Kenapa kita kurang mengambil berat hal saudara seagama kita? Dimana akhlak yang diajar oleh junjungan kita Rasulullah S.A.W.

Wahai profesional Islam kita adalah bertanggungjawab menyebarkan dakwah bukan menjadi PENGHUKUM, buanglah sifat mengeji saudara kita.. Sebaliknya Cintalah mereka kerana ALLAH TAALA

Dipetik dari : http://urusetialandas.blogspot.com

STATUS INSURAN MCIS ZURICH

MCIS Zurich Insurance (MCIS) didaftarkan dibawah Akta Insurans 1996 dan bukannya dibawah Akta Takaful 1984. Oleh yang demikian, MCIS bukanlah salah satu pengendali takaful yang didaftarkan dibawah Akta Takaful 1984 dan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memasarkan produk-produk yang berlandarkan shariah.

Kekeliruan terjadi apabila produk yang dipasarkan bertujuan sebagai pelaburan (investment) dan perlindungan (protection). Walaupun bahagian pelaburan produk perkenaan adalah berlandarkan shariah tetapi bahagian perlindungan yang diberikan oleh pengendali insurans tersebut bukanlah berlandaskan shariah, dimana perlindungan yang diberikan masih terdapat unsur-unsur gharar, judi dan riba. Oleh kerana kedua-dua elemen ini berada dalam satu produk, maka, produk ini tidak dikategorikan sebagai produk yang berlandaskan shariah.

Sekian, terima kasih.

Noor Shuhaila Hj Johari
BNMTELELINK
Jabatan Komunikasi Korporat
Bank Negara Malaysia
No Tel : 1-300-88-5465
No Faks : 03-21741515

Saturday, August 29, 2009

MARI BERTADARUS


Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang sangat-sangat pemurah (dan sentiasa bersedekah), lebih-lebih lagi kemurahannya dan sedekah pemberiannya dalam bulan Ramadhan, ketika malaikat Jibril datang menemuinya. Baginda ditemui oleh Jibril tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Qur'an bersama. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. sangat-sangat bermurah hati dan sentiasa mengerjakan kebajikan (dengan tidak bertangguh lagi), lebih deras daripada hembusan angin (pembawa rahmat)"

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)


" Setiap tahun sekali biasanya Jibril menyemak al-Quran denganku, tetapi pada tahun ini beliau menyemak denganku sebanyak 2 kali dan aku tidak menyangka demikian kecuali sudah dekat akan ajalku "
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

" ... dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah, sedang mereka membaca kitab Allah, serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan turun kepada mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh limpahan rahmat, mereka pula dilingkungi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya".
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)



Demikianlah beberapa rantaian hadis berkaitan pembacaan Al-Quran. Nabi s.a.w sendiri mengerjakan amalan bertadarus di bulan Ramadhan bersama malaikat Jibril a.s, mengapa kita sebagai umat akhir zaman ini begitu berat untuk bertadarus? Nabi s.a.w setiap Ramadhan akan menyemak bacaan dan kandungan al-Quran yang diwahyukan kepada Baginda agar tidak salah disampaikan kepada umat Baginda. Kita? Apa salahnya kita luangkan sedikit masa untuk menyemak bacaan kita di bulan yang mulia ini dengan mengikuti aktiviti bertadarus yang dianjurkan samada di masjid, surau, atau di tempat-tempat kerja kita.


Biro Dakwah Kolej Komuniti Bandar Darulaman mengajak seluruh muslimin dan muslimat di KKBD untuk menyertai program tadarus yang sedang berjalan sepanjang bulan Ramadhan ini.

Muslimin: Surau Aras Bawah (1.00pm - 2.00 pm)

Muslimat: Surau Aras 2 (1.00pm - 2.00pm)


Bersama mengimarahkan Ramadhan Nul-Kareem. InsyaAllah.



Thursday, August 27, 2009

KERANA ILMU MEREKA RELA MEMBUJANG

"Saya berpendapat, bagi seorang penuntut ilmu pemula hendaknya ia menahan untuk tidak menikah sebisa mungkin. Sesungguhnya Imam Ahmad bin Hanbal tidak menikah hingga berumur 40 tahun. Semua itu dilakukan demi ilmu."
(Ibnu Jauzi)

"Dianjurkan bagi seorang penuntut ilmu untuk membujang sebisa mungkin, agar dalam mencari ilmu ia tidak disibukkan dengan hak-hak keluarga yang harus ia penuhi dan disibukkan dengan mencari penghidupan."
(Khatib al-Baghdadi)

Memilih hidup membujang kerana ingin berkonsentrasi menggeluti ilmu merupakan sebuah pilihan hidup yang luar biasa. Desah-desah syahwat yang pada sebahagian orang justeru men­jadi raja yang menguasai hati, berhasil terpinggirkan kerana dominasi cinta terhadap ilmu yang begitu menggumpal dalam relung-relung hati. Itulah sebuah catatan indah yang pernah tergoreskan dalam sejarah hidup sebahagian para ulama sebagai pewaris para nabi. Imam Nawawi, Ibnu Taimiyah dan Imam At-Tabari termasuk sebahagian ulama yang ‘berijtihad’ terhadap diri mereka sendiri untuk tidak menikah kerana ilmu. Dan sekali lagi, ini merupakan sebuah pilihan hidup yang luar biasa!

Pilihan mereka untuk hidup membujang daripada menikah, dengan keilmuan, kesolehan, kejantanan dan kenormalan mereka, tak lain kerana mereka lebih mendahulukan orang lain daripada diri mereka sendiri. Agar mereka dapat mencurahkan segenap kemampuan mereka guna berkhidmat untuk din dan ilmu. Agar mereka dapat mengerahkan segenap usahanya untuk menjabarkan syariat yang mulia ini, menyusunnya serta menyajikannya kepada banyak orang. Tak diragukan lagi bahawa sikap itsar (mendahulukan orang lain daripada diri sendiri) ini disyariatkan dalam Islam dan terpuji bagi pelakunya. Betapa banyak mereka memiliki anugerah dan keutamaan di pundak para ulama dan manusia.

Yusuf al-Qawwas menuturkan, "Aku mendengar Abu Bakar An-Naisaburi berkata, 'Tahukah kamu orang yang bermukim selama 40 tahun, tak pernah tidur di malam hari, makan sehari hanya dengan 5 biji kurma dan solat subuh dengan wuduk solat Isyak?' Ia melanjutkan, 'Itulah aku. Itu sebelum aku mengenal Ummu Abdurrahman...' "

"Ilmu mula menghilang di paha-paha wanita."

(Bisyr Al-Hafi)

"Barangsiapa yang terbiasa dengan paha-paha wanita, ia tak akan mendapatkan apa-apa."
(Ibrahim bin Adam)

Bila menikah dapat menahan pandangan dan menjaga kemaluan, maka Allah telah memuliakan mereka dengan pakaian ketaqwaan, kesolehan dan kezuhudan. Allah memberikan perhiasan kepada meeka dengan perhiasan ilmu dan amal. Kebaikan mereka tersebut telah mengarahkan kepada semua itu, berkat kurnia dan rahmatNya.

Bila bersanding dengan isteri dapat memberikan kenyamanan pada diri sang suami, maka mereka memandang bahawa berdampingan dengan kitab dan ilmu dapat memberikan kenyamanan seperti itu pula atau bahkan lebih dari itu. Sehingga sebahagian dari mereka ada yang mengungkapkan:



Dipetik dari : http://tamanulama.blogspot.com/

Wednesday, August 26, 2009

KURSUS RAWATAN ISLAM MENANGANI GANGGUAN MAKHLUK HALUS


TAJUK KURSUS:
Kursus Rawatan Terapi al-Quran (Santau, Sihir, Makhluk Halus)

PENYAMPAI:
Tuan Guru Ustaz Abdul Malek Bin Haji Ladzim Al-Azhari

YURAN:
RM 120.00 (Ringgit: Seratus dan Dua Puluh Sahaja)- Bayaran Tunai untuk 6 slot. Dibayar pada hari pertama (pendaftaran) kursus.

6 Siri/Slot seperti berikut:
1/8/2009 , 15/8/2009, 5/9/2009, 3/10/2009, 17/10/2009, dan 31/10/2009

TEMPAT KURSUS:
Dewan Syarahan, Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Jitra, Kedah

PENDAFTARAN:
Sila Hubungi Unit Kursus Pendek KKBD, 04 9182524

Tuan-tuan yang berminat juga boleh memberikan butiran-butiran yang diperlukan pada ruang 'comments' pada posting ini untuk dipanjangkan kepada urusetia kursus berkenaan. Butiran seperti berikut diperlukan:
1. Nama Penuh:
2. No. K/P:
3. No. Telefon Bimbit/Rumah:
4. Alamat Tempat Tinggal:


BIODATA

Tuan Guru Ustaz Hj Abd Malek Ladzim mendapat didikan secara formal diperingkat Diploma Syariah Islamiah dari Institut Agama Islam Negeri Kedah (sekarang dinamakan Kolej Universiti INSANIAH) dan ke Universiti Al-Azhar dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Syariah Islamiah. Minat beliau dalam bidang akademik diteruskan dengan melanjutkan ke peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang M.S.C (Master of Science Islamic Finance). Sekarang beliau bergiat aktif dalam usaha dakwah termasuk dalam bidang perubatan Islam setelah mendapat ijazah keizinan daripada beberapa orang guru di Malaysia dan Mesir termasuk Syeikh Wahid bin Abd Salam Bali ketika beliau menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.Kini beliau menjalankan rawatan di Pusat Rawatan Darul Hikmah no 16 Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan, Jln Tun Razak Alor Star 05460 Kedah 019-471 5232

UNTAIAN HADIS BERKENAAN PUASA


Hadis Pertama
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."


Hadis Kedua
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."


Hadis Ketiga
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."


Hadis Keempat
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."


Hadis Kelima
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur."


Hadis Keenam
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (dari sudut syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."



ISTIMEWANYA PUASA, INDAHNYA ISLAM


Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.)

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan.

Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."[Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah]

Berikut disenaraikan beberapa keistimewaan puasa di dalam Islam;

Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w,
“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.

Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.


Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.

Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.

Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.

Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.

Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya”.

Sama-samalah kita meneruskan ibadat puasa wajib di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga puasa kita dan ibadat kita diterima oleh Allah dan terhindar daripada golongan yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata.




FADHILAT TARAWIH

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (k.w.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan :

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.


5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.


6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.


8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.


9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.


11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.


12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.


15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.


16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.


18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.


21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.


27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.


29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.


30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

Tuesday, August 25, 2009

ISTIMEWA SEORANG WANITA DI MATA ISLAM


Sekadar renungan buat insane yang bergelar wanita. Ketahuilah betapa istimewanya menjadi wanita. Betapa bertuahnya menjadi wanita. Syukur kita kepada Ilahi……

1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasullah s.a.w akan hal tersebut, jawab baginda, “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.

2. Wanita yang solehah itu lebih baik daripada seribu orang lelaki yang soleh.

3. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

4. Seorang wanita solehah adalah lebih baik ddaripada 70 lelaki soleh.

5. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

6. Barangsiapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Dan hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka, barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak nabi Ismail a.s.

7. Tidaklah seorang wanita yang haid itu, kecuali haidnya merupakan kifarat (tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu dan apabila hari pertama haidnya membaca “alhamdulillah’ alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah” yang bermaksud, “ Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala dosa.” Maka, Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah melalui siratul mustaqim, aman dari seksaan, bahkan Allah mengangkatnya ke atas darjat seperti 40 orang mati syahid apabila dia selalu berzikir kepada Allah selama haidnya.

8. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama Rasulullah s.a.w. di dalam syurga.

9. Barangsiapa mempunyai 3 anak perempuan atau 3 saudara perempuan atau 2 anak perempuan atau 2 saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik dengan penuh rasa taqwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah Syurga.

10. Darpada Aisyah r.a.”Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”

11. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

12. Apabila memanggil akan engkau 2 orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

13. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu Neraka dan terbukalah pintu-pintu Syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

14. Aisyah r.a. berkata : “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? “Suaminya” “Siapa pula yang berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah s.a.w. “ Ibunya”.

15. Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat 5 waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk Syurga dari pintu mana sahaja yang dia kehendak.


“ Sesungguhnya, untuk mencari Muslimah Solehah di akhir zaman ibarat mencari permata di dasar lautan, kadang-kadang kita sangka ia adalah permata berharga tetapi rupa-rupanya ia hanyalah kaca yang tidak ada nilainya….”

KENAPA TAK CINTA ??

Dah hampir seminggu umat Islam menempuh bulan Ramdhan yang agung...yang di dalamnya mengandungi pelbagai fadhilat..rahmat..maghfirah dan keberkatan. Berpuasa di siang hari dan bertarawih serta bermunajat di malam hari. Apa saja amalan baik akan digandakan ganjarannya oleh Allah SWT yang maha pemurah...dan rugilah orang membiarkan Ramdahan berlalu tanpa mengambil sebarang manafaat.

Tapi kenapa ada orang yang tidak cinta dengan Ramadhan ? Tidak sayang melepaskan peluang dari janji-janji Allah SWT dan Rasullullah SAW. Jawapannya, kerana mereka tidak cinta pada agama. Di hatinya bersarang kecintaaan kepada kehidupan dunia. [ hubbundunya ]. Dunia menjadi keutamaan .. sedang agama sekadar anutan semata-mata.

Bagaimana mewujudkan rasa cinta ? Rasa cinta akan wujud apabila adanya pengorbanan dan susah payah. Seorang ibu cintakan anak-anaknya kerana pengorbanan dan susah payahnya mengandung, melahirkan, membesarkan. mendidik dan membela. Seorang pengembala akan menangis atau bersedih jika haiwan gembalaannya mati atau dicuri orang kerana pengorbanan dan susah payahnya atas haiwan-haiwan itu. Seorang peniaga yang kehilangan barang-barang dagangannya akan berasa sedih dan menangis kerana telah banyak berkorban atas perniagaannya.

Justeru..orang yang tidak cinta pada Islam..tidak sayang melepaskan Ramdhan adalah kerana TIDAK ADANYA PENGORBANAN terhadap agama. Terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW. Islamnya sekadar Islam baka. Hanya kerana dilahirkan dalam kalangan keluarga Islam. Tidak pernah dia bersusah payah untuk mempelajari Islam, memahami Islam..jauhkan sekali berkorban masa, tenaga dan harta benda untuk kecemerlangan Islam.

Sebaliknya orang-orang yang mendapat Islam dengan kepayahan, pengorbanan dan airmata..kecintaan mereka terhadap Islam amat mendalam. Justeru, sahabat-sahabat Rasulullah SAW sanggup mati demi mempertahankan keislaman mereka. Mereka yakin bahawa kejayaan yang kekal abadi hanyalah dalam Islam. Di Palestine..mereka sanggup mati untuk Islam kerana mereka cintakan Islam. Mereka cintakan Islam kerana mereka ada pengorbanan untuk Islam.

Tapi kita ??? Apa pengorbanan kita untuk Islam ? Sekadar solat bersendirian di hujung waktu ? Memiliki nama seorang Islam ? Sesekali mengunjungi masjid atau surau seperti melawat muzium sejarah..? Sewajarnya lah kita menilai semula pengorbanan dan kecintaan kita terhadap agama.

Mudah-mudahan, peringatan ini memberi manafaat kepada saya dan pembaca sekalian..untuk menggandakan usaha meningkatkan ketaatan kehadrat Allah SWT khususnya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Wallahua'lam




JANGAN SOMBONG !!!

Kenapa orang jadi sombong ??? Meninggi diri..rasa megah tak tentu pasal. Lalu terpancarlah kesombongan itu pada cahaya wajah, tutur kata, gaya, pertuturan dan seluruh tingkah.
Sebenarnya, kelazimannya orang jadi sombong kerana dia rasa ada kelebihan berbanding orang lain. Tak kiralah..kelebihan itu dari segi harta, rupa paras, wang ringgit, suara, pangkat darjat, kedudukan, ilmu, kelulusan, kebolehan dan macam-macam lagi. Mereka rasa tarafnya jauh lebih hebat dari orang lain. Orang lain semuanya rendah, lekeh dan tidak sepadan dengan mereka.
Mudah sungguh mereka terlupa, kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Apa yang kita miliki hanyalah pinjaman dari Allah SWT semata-mata. Entah esok atau lusa..Allah SWT akan ambil semula apa yang dipinjamkan itu...dan kita hanya sebatang kara. Segalanya milik Allah SWT. Malah udara yang kita sedut setiap ketika ini pun milik Allah SWT. Bayangkan..kalau secara tiba-tiba kita tidak boleh menyedut udara Allah SWT..apa yang berlaku pada kita. Adakah segala yang kita megah dan sombongkan itu dapat membantu kita ?
Justeru..JANGAN SOMBONG..biar apa pun posisi kita. Segalanya hanya sementara. Kebesaran dan kemegahan itu bukan milik kita. Tetapi..MILIK ALLAH SWT yang maha agung. Tapi ada juga ..orang yang tak punya apa-apa..tapi sombong. Tak tau apa yang dibanggakannya...
Orang yang sombong tidak akan diajak berbicara dengan Allah SWT pada hari kiamat. Bayangkanlah..betapa ruginya kita, jika Allah SWT yang maha agung membenci kita. Apalah ertinya harta bertimbun, ijazah bersusun, suara memukau, rupa paras menawan...jika semuanya menjauhkan kita dari rahmat Allah SWT.
Wallah hua'lam

Monday, August 24, 2009

PERJALANAN KE SYURGA PENUH DURI

"Perjalanan ke syurga dilingkungi dengan duri dan onak. Manakala jalan ke neraka dikelilingi dengan keinginan syahwat. Demikian ditegaskan oleh Nabi Muhammad saw. mengenai dua jalan yang ditempuhi oleh manusia.

Syurga ialah tempat kenikmatan dan kebahagiaan di akhirat yang dikurniakan kepada hamba-hamba Allah yang beramal soleh. Neraka pula tempat azab keseksaan disediakan untuk mereka yang beramal tholeh (kejahatan).

Perjalanan ke syurga dilingkungi dengan duri dan onak. Manakala jalan ke neraka dikelilingi dengan keinginan syahwat. Demikian ditegaskan oleh Nabi Muhammad saw. mengenai dua jalan yang ditempuhi oleh manusia.

Untuk melayakkan diri ke syurga, seseorang itu mestilah menempuh banyak ujian seperti melaksanakan suruhan Allah dan rasul serta menjauhi laranganNya. Kesemua ini memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula dari keimanan kepada Allah. Sudah tentu untuk mengerjakan solat, puasa, haji dan amal kebajikan lain amat payah kecuali bagi mereka yang beriman. Sebab itulah Nabi mengatakan jalan ke syurga penuh dengan kesusahan.

Bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan. Syaitan dan nafsu memang menyuruh kita berbuat kejahatan dan tidak menggalakkan kita melakukan kebajikan. Jika kita turutkan kehendak syaitan sudah tentu kita tidak mampu melakukan sebarang kebajikan.

Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah kerana dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong manusia mengikut hawa nafsu. Amat mudah melakukan kejahatan.

Nah, di depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk diikuti. Tepuk dada dan tanyakan iman - bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu.

Betapa tak susah masuk syurga? Dalam satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang berilmu. Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang beramal semuanya binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan perlu banyak berjuang. Ibarat mendaki bukit yang tinggi, hanya orang yang lasak saja berjaya sampai ke mercu.

Kebahagiaan di dunia belum menjadi pasport untuk ke syurga. Malahan adalah menjadi kesalahan jika kekayaan yang didapati tidak diperolehi dan dibelanjakan secara Islamik.

Semua manusia inginkan hidup senang. Kesenangan di dunia hanya sementara manakala kesenangan akhirat kekal abadi. Orang yang bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki bukan yang bersifat sementara. Hanya orang yang cetek akal saja memilih kesenangan dunia dan mengenepikan kesenangan akhirat.

Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala. Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita mesti mengawas dari serangan penyakit batin seperti ria, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan. Di sini peranan ilmu tasauf yang perlu kita pelajari dan dalami.

Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita. Kalau Allah tak gerakkan kita untuk beramal, kita tak akan beramal. Ini maknanya Allah mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal.

Bagaimana kita mahu mendabik dada tentang amalan kita? Saidina Ali yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh. Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita? Saidina Ali Menggigil mengenangkan bekalan yang sikit untuk perjalanan ke akhirat yang jauh.

Kesimpulannya kita terpaksa mengharung kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat adalah rahmat. Dengan kesusahan ini Allah mengampun dan meninggikan darjat kita. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat. Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan dan cabaran.

Ingat sekali lagi pesanan Nabi saw "Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat." Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke neraka. Wallahu 'Alam."

Friday, August 21, 2009

HEBATNYA RAMADHAN..

Hazrat Salman R.A berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda kepada kami, pada hari terakhir dari bulan Syaaban :

Wahai manusia..telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam [ Lailatul Qadr ] yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya [ bertarawih ] sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah SWT padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan- bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.

Monday, August 10, 2009

RENUNGAN

Maksud Firman Allah SWT :
"Kamu adalah ummat yang terbaik..yang dilahirkan untuk manusia. Kamu mengajak kepada kebenaran dan mencegah daripada kemungkaran..dan kamu beriman dengan Allah SWT"
Keterangan :
Ummat Nabi Muhammad SAW ditinggikan darjat berbanding ummat nabi-nabi lain kerana ummat ini mempunyai kewajipan untuk meneruskan tugas-tugas nubuwah [ kenabian ]. Mereka tidak boleh beramal ibadat bersendirian sebaliknya berkewajipan melaksanakan kerja-kerja dakwah [ mengajak kepada kebenaran dan mencegah daripada kemungkaran ]. Jika ummat ini hanya beribadat bersendirian [ abid ] seperti amalan ummat nabi-nabi lain..maka hilanglah kemuliaan mereka sebagai "ummat yang terbaik".
Kita tidak perlu menjadi ustaz atau ustazah atau tuan guru untuk melaksanakan dakwah..justeru Nabi SAW telah bersabda :
"Sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat...."
Blog ini membuka peluang kepada semua rakan-rakan menyampaikan risalah dakwah sekadar kemampuan kita masing-masing. Semoga usaha kita yang sedikit ini menjadi asbab rahmat Allah SWT kepada kita semua. Amin

Sunday, August 9, 2009

PELANCARAN BLOG BIRO DAKWAH

JITRA - Biro Dakwah Kolej Komuniti Bandar Darulaman melancarkan BLOG BIRO DAKWAH KKBD dengan kerjasama Unit Multimedia dan Sumber KKBD. Pelancaran blog ini diharap akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk menyampaikan lebih banyak maklumat dan risalah dakwah selaras dengan perkembangan teknologi digital.
Blog ini boleh diakses melalui url :
Semua kakitangan atau pelajar yang berminat untuk memuatnaik [ upload ] risalah ilmu atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Jawatankuasa Biro Dakwah KKBD.
Melalui medan digital ini, diharap lebih banyak risalah ilmu dan maklumat keagamaan dapat dikongsi dengan semua warga kolej. Pihak Jawatankuasa Biro Dakwah KKBD juga berharap lebih banyak risalah Ramadhan dapat dipaparkan sepanjang bulan Ramadhan yang akan datang tidak lama lagi.
Semoga usaha kita yang sedikit ini, mendapat rahmat Allah SWT dan dikira sebagai amal baik yang mendapat ganjaran berterusan. Amin