Tuesday, August 25, 2009

KENAPA TAK CINTA ??

Dah hampir seminggu umat Islam menempuh bulan Ramdhan yang agung...yang di dalamnya mengandungi pelbagai fadhilat..rahmat..maghfirah dan keberkatan. Berpuasa di siang hari dan bertarawih serta bermunajat di malam hari. Apa saja amalan baik akan digandakan ganjarannya oleh Allah SWT yang maha pemurah...dan rugilah orang membiarkan Ramdahan berlalu tanpa mengambil sebarang manafaat.

Tapi kenapa ada orang yang tidak cinta dengan Ramadhan ? Tidak sayang melepaskan peluang dari janji-janji Allah SWT dan Rasullullah SAW. Jawapannya, kerana mereka tidak cinta pada agama. Di hatinya bersarang kecintaaan kepada kehidupan dunia. [ hubbundunya ]. Dunia menjadi keutamaan .. sedang agama sekadar anutan semata-mata.

Bagaimana mewujudkan rasa cinta ? Rasa cinta akan wujud apabila adanya pengorbanan dan susah payah. Seorang ibu cintakan anak-anaknya kerana pengorbanan dan susah payahnya mengandung, melahirkan, membesarkan. mendidik dan membela. Seorang pengembala akan menangis atau bersedih jika haiwan gembalaannya mati atau dicuri orang kerana pengorbanan dan susah payahnya atas haiwan-haiwan itu. Seorang peniaga yang kehilangan barang-barang dagangannya akan berasa sedih dan menangis kerana telah banyak berkorban atas perniagaannya.

Justeru..orang yang tidak cinta pada Islam..tidak sayang melepaskan Ramdhan adalah kerana TIDAK ADANYA PENGORBANAN terhadap agama. Terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW. Islamnya sekadar Islam baka. Hanya kerana dilahirkan dalam kalangan keluarga Islam. Tidak pernah dia bersusah payah untuk mempelajari Islam, memahami Islam..jauhkan sekali berkorban masa, tenaga dan harta benda untuk kecemerlangan Islam.

Sebaliknya orang-orang yang mendapat Islam dengan kepayahan, pengorbanan dan airmata..kecintaan mereka terhadap Islam amat mendalam. Justeru, sahabat-sahabat Rasulullah SAW sanggup mati demi mempertahankan keislaman mereka. Mereka yakin bahawa kejayaan yang kekal abadi hanyalah dalam Islam. Di Palestine..mereka sanggup mati untuk Islam kerana mereka cintakan Islam. Mereka cintakan Islam kerana mereka ada pengorbanan untuk Islam.

Tapi kita ??? Apa pengorbanan kita untuk Islam ? Sekadar solat bersendirian di hujung waktu ? Memiliki nama seorang Islam ? Sesekali mengunjungi masjid atau surau seperti melawat muzium sejarah..? Sewajarnya lah kita menilai semula pengorbanan dan kecintaan kita terhadap agama.

Mudah-mudahan, peringatan ini memberi manafaat kepada saya dan pembaca sekalian..untuk menggandakan usaha meningkatkan ketaatan kehadrat Allah SWT khususnya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Wallahua'lam




No comments:

Post a Comment