Wednesday, September 1, 2010

RAMADHAN AL-KAREEM

AlhamduliLLAH kita sedang berada di fasa ketiga dalam ibadah Ramadhan dalam usaha memenuhi kefardhuan puasa dengan tekad memperolehi taqwa.

Taqwa melahirkan orang muttaqin. Menjadi orang yang muttaqin bermakna memiliki adab dan akhlak Al-Quran dan As-Sunnah. Tidak akan bertaqwa orang yang menentang Al-Quran dan As-Sunnah. Bertaqwa bermakna menerima sistem dan peraturan yang ditetapkan oleh ALLAH dan RasulNYA SAW.

Menariknya kepatuhan kepada Al-quran tidak akan terjadi tanpa adab dan akhlak kepada pembawa risalah Muhammad SAW.

Adab dan akhlak kepada Baginda tidak akan terjadi tanpa mencintai RasulNYA SAW dengan penuh keikhlasan. RasuluLLAH SAW adalah pemberi rahmah kepada sekalian alam. Tidak hanya kepada manusia tetapi alam keseluruhannya termasuk gunung-ganang, tumbuhan malah kepada binatang.

Catatan sejarah ini membuktikan kebenarannya:

1. Semasa Baginda SAW bersama saidina Abu Bakr menaikki jabbal Thur, bukit Thur bergegar kerana tidak sanggup menanggung kebesaran rahmat orang yang berada di atasnya. Lantas Nabi SAW berkata kepada bukit Thur, wahai bukit ketahuilah di atasmu adalah Nabi Muhammad pesuruh ALLAH maka diamlah kamu.... maka jabbal Thur pun berhenti bergegar.

2. Apabila Baginda membesarkan masjid Quba, RasuluLLAH SAW membina mimbar supaya kedudukan lebih tinggi. Sebelum itu RasuluLLAH SAW menggunakan pelepah tamar sebagai cokmar membaca khutbah. Pada hari Baginda SAW mula menggunakan mimbar, para sahabat mendengar tangisan kanak-kanak di dalam masjid. Para sahabat mencari tangisan berkenaan semakin lama semakin kuat, RasuluLLAH SAW juga mendengarnya. Setelah puas dicari rupanya tangisan itu adalah datang dari pelepah tamar. RasuluLLAH SAW bertanya kenapa dia menangis. Pelepah tamar menjawab ia takut Baginda SAW tidak lagi menggunakannya untuk berkhutbah. Lantas Nabi SAW menawarkannya untuk bersama Baginda SAW di syurga. Pelepah tamar amat gembira dan berhenti menangis....

3. Seekor unta telah mengamuk. Dia menerajang sesiapa yang menghampirinya hingga membawa kepada kematian. Orang ramai menangkapnya dan mengikatnya. Apabila RasuluLLAH SAW lalu berdekatannya, RasuluLLAH SAW meminta ikatannya dibuka. Orang kampung pada mulanya menolak kerana unta itu amat ganas. RasuluLLAH SAW memberikan jaminan bahawa unta itu tidak akan mengamuk. Setelah dilepaskan unta itu pergi duduk di depan RasuluLLAH sambil mencium wajah Baginda SAW yang mulia. RasuluLLAH bertanya kepadanya kenapa dia mengamuk. Unta itu menceritakan bagaimana ia disuruh bekerja keras tetapi tidak diberi makan. RasuluLLAH SAW mahu agar unta itu tidak dianiya lagi. Penduduk berkenaan berjanji agar memberinya makan dan tidak akan menyuruhnya membuat apa-apa kerja lagi.

Begitulah rahmahnya RasuluLLAH SAW kepada gunung, tumbuhan dan haiwan.

RasuluLLAH SAW menyayangi kita sebagai ummatnya... sehingga di saat akhir kehidupannya Baginda masih menyebut "umatku....ummatku... ummatku, ya ALLAH sakitnya sakaratul maut, ringankanlah ya ALLAH ke atas ummatku"

Adakah kita menyayangi RasuluLLAH SAW sepertimana yang dianjurkan?

* sumber : http://akrine.blogspot.com/

Tuesday, February 2, 2010

HUKUM MENYAMBUT VALENTINE’S DAY


Ia diraikan sempena memperingati paderi Kristian bernama Pedro St. Valentino. Dia aktif menyebarkan agama Kristian pada zaman pemerintahan Rom yang pada masa itu diperintah Claudius II. Raja Rom ini memenjarakan orang Kristian kerana mereka mengamalkan agama yang bertentangan dengan agama kuno Romawi. Oleh kerana Valentine salah seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa di dalam penjara.
Namun sepanjang di dalam penjara pun, Valentine tetap sebarkan agama Kristian kepada banduan-banduan. Raja Rom mengetahui kegiatan Valentine dan memerintah Valentine dihukum bunuh pada 14 Februari. Lantaran itu, orang Kristian memandang mulia kepada Valentino kerana kesanggupan mengorbankan nyawa kerana kepercayaan, kecintaannya terhadap syiar agama Nasrani iaitu agama Kristian. Malah sehingga mereka menyamakan Valentino seperti Nabi Isa.
Sumber-sumber menyatakan, ketika St. Valentine dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum itu Raja Claudius II memberi kepadanya pilihan, sama ada meninggalkan agama Kristian yang dianutinya atau menerima hukuman bunuh. Beliau rela dibunuh, tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan From your valentine (Daripada Valentinemu).

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 24 dan 24 November 2005 telah memutuskan:
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”
Hukum menyambut Valentine’s Day adalah DILARANG dan DITEGAH oleh Islam
. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian.
Sesungguhnya Allah itu tuhan yang maha penerima taubat. Bersegeralah bertaubat kepada-Nya.
Antara yang sependapat dengan fatwa ini adalah
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
- Maljis Jawatankuasa Fatwa Selangor
- Majlis Ugama Islam Singapura

Tuesday, December 15, 2009

TAZKIRAH ZOHOR


Tazkirah zohor yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Rosmaidi di Surau KKBD (15/12/2009).
Muslimin dan muslimat dijemput untuk mengimarahkan majlis ilmu yang dianjurkan. InsyaAllah...

Thursday, December 10, 2009

PROGRAM UKHUWAH KKBD BERMULA




"...orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana banggunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.."

"...orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya..."

Sesungguhnya Islam memandang sangat mustahak untuk membentuk ikatan-ikatan perpaduan di kalangan penganut-penganutnya. Ikatan-ikatan ini dinamakan “Usrah” atau “Keluarga”.

Dengan terbentuknya apa yang dinamakan “Usrah” atau “Keluarga” seperti itu akan dapatlah dipimpin penganut-penganut Islam tadi ke arah keimanan yang kukuh, dan dapatlah pula diperkuatkan ikatan-ikatan yang ada pada mereka, bahkan akan dapatlah dipertinggikan mutu “Ukhuwah” atau “Persaudaraan” di antara sesama mereka sendiri.

Oleh itu, sebagai umat Islam, kita juga hendaklah turut memandang berat serta Bersedia untuk menjadi batu-bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga yang mulia ini; iaitu “Usrah Islamiah” atau “Keluarga Islam”.

Di peringkat KKBD, Program Usrah ini dinamakan sebagai "Ukhuwah KKBD" yang bertujuan untuk menjalin dan merapatkan hubungan sesama staf ke arah kesempurnaan hidup beragama. Program Ukhuwah KKBD yang dianjurkan oleh Biro Dakwah KKBD sudah mula mengorak langkah awal dalam usaha yang murni ini.

Semoga terlaksananya program sebegini, kita sesama umat Islam dapat saling ingat memperingati antara satu dengan yang lain ke arah mencapai redha Allah semata-mata.

Semua muslimin di KKBD dijemput bersama-sama meluangkan sedikit masa menyertai Program Ukhuwah KKBD. Keterangan lanjut boleh menghubungi Ketua Biro Dakwah KKBD (En. Mohd Syukur).

Wednesday, December 9, 2009

KELAS TAJWID: SEMUA STAF DIJEMPUT HADIR



Sabda (maksudnya) Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik di kalangan kamu orang yang belajar Al Quran dan mengajarkannya (kepada orang lain)."
[Riwayat Al-Bukhari]

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

" Orang yang mahir Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan sulit(susah)dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan).
[Riwayat Muslim]



Majlis ilmu yang dianjurkan oleh Biro Dakwah KKBD dan disampaikan oleh Ustaz Mohd Rosmaidi.

Berikut maklumat berkaitan:

Hari: Setiap Hari Selasa
Masa: Selepas Solat Zohor Berjemaah
Tempat: Surau KKBD

***Sebarang perubahan bakal dimaklumkan...InsyaAllah.


Semua staf KKBD (muslimin / muslimat) dijemput mengimarahkan majlis ilmu ini. Amat besar ganjaran yang dijanjikan kepada barangsiapa yang belajar dan mengajar Al-Quran ini.

Semoga usaha sebegini dapat mempertingkatkan kualiti ibadat dan merapat ukhuwah di kalangan staf KKBD.

Monday, December 7, 2009

ZIARAH UKHWAH OLEH AHLI BIRO DAKWAH KKBD KE RUMAH EN.FIRDAUS

Rakan-rakan Biro Dakwah KKBD menziarahi staf KKBD yang mengalami kecederaan semasa menyertai Pertandingan Bola Sepak Liga Tempatan petang semalam (6/12/2009). En.Mohd Firdaus mengalami kecederaan di tangan dan telah menerima rawatan di Hospital Jitra. Semoga beliau cepat sembuh dan kembali sihat.
Sama-samalah kita semua doakan agar beliau diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian dari-Nya.

"Sesungguhnya seorang Muslim yang menziarahi saudaranya yang Muslim akan sentiasa di dalam kebun buah-buahan syurga sehingga ia pulang." [Riwayat Muslim]

"Tidak ada seorang Muslim yang menziarahi seorang Muslim pada pagi-pagi hari kecuali berselawat kepadanya tujuh puluh ribu malaikat hingga sampai ke petang dan jika dia ziarah pada waktu petang kecuali berselawat kepadanya tujuh puluh malaikat hingga dia berpagi-pagi dan dia mempunyai kebun buah-buahan di dalam syurga." [Riwayat At-Tirmidzi ]

Saturday, December 5, 2009

Membaca dan Mengamalkan al-Quran Umpama Wangian Kasturi


Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Belajarlah al-Quran serta bacalah kerana perumpamaan al-Quran bagi orang yang mahu belajar, membaca dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat. Dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup."

[Riwayat al-Tirmizi]