Showing posts with label Catatan IM. Show all posts
Showing posts with label Catatan IM. Show all posts

Tuesday, December 15, 2009

TAZKIRAH ZOHOR


Tazkirah zohor yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Rosmaidi di Surau KKBD (15/12/2009).
Muslimin dan muslimat dijemput untuk mengimarahkan majlis ilmu yang dianjurkan. InsyaAllah...

Thursday, December 10, 2009

PROGRAM UKHUWAH KKBD BERMULA




"...orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana banggunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.."

"...orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya..."

Sesungguhnya Islam memandang sangat mustahak untuk membentuk ikatan-ikatan perpaduan di kalangan penganut-penganutnya. Ikatan-ikatan ini dinamakan “Usrah” atau “Keluarga”.

Dengan terbentuknya apa yang dinamakan “Usrah” atau “Keluarga” seperti itu akan dapatlah dipimpin penganut-penganut Islam tadi ke arah keimanan yang kukuh, dan dapatlah pula diperkuatkan ikatan-ikatan yang ada pada mereka, bahkan akan dapatlah dipertinggikan mutu “Ukhuwah” atau “Persaudaraan” di antara sesama mereka sendiri.

Oleh itu, sebagai umat Islam, kita juga hendaklah turut memandang berat serta Bersedia untuk menjadi batu-bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga yang mulia ini; iaitu “Usrah Islamiah” atau “Keluarga Islam”.

Di peringkat KKBD, Program Usrah ini dinamakan sebagai "Ukhuwah KKBD" yang bertujuan untuk menjalin dan merapatkan hubungan sesama staf ke arah kesempurnaan hidup beragama. Program Ukhuwah KKBD yang dianjurkan oleh Biro Dakwah KKBD sudah mula mengorak langkah awal dalam usaha yang murni ini.

Semoga terlaksananya program sebegini, kita sesama umat Islam dapat saling ingat memperingati antara satu dengan yang lain ke arah mencapai redha Allah semata-mata.

Semua muslimin di KKBD dijemput bersama-sama meluangkan sedikit masa menyertai Program Ukhuwah KKBD. Keterangan lanjut boleh menghubungi Ketua Biro Dakwah KKBD (En. Mohd Syukur).

Wednesday, December 9, 2009

KELAS TAJWID: SEMUA STAF DIJEMPUT HADIR



Sabda (maksudnya) Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik di kalangan kamu orang yang belajar Al Quran dan mengajarkannya (kepada orang lain)."
[Riwayat Al-Bukhari]

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

" Orang yang mahir Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan sulit(susah)dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan).
[Riwayat Muslim]



Majlis ilmu yang dianjurkan oleh Biro Dakwah KKBD dan disampaikan oleh Ustaz Mohd Rosmaidi.

Berikut maklumat berkaitan:

Hari: Setiap Hari Selasa
Masa: Selepas Solat Zohor Berjemaah
Tempat: Surau KKBD

***Sebarang perubahan bakal dimaklumkan...InsyaAllah.


Semua staf KKBD (muslimin / muslimat) dijemput mengimarahkan majlis ilmu ini. Amat besar ganjaran yang dijanjikan kepada barangsiapa yang belajar dan mengajar Al-Quran ini.

Semoga usaha sebegini dapat mempertingkatkan kualiti ibadat dan merapat ukhuwah di kalangan staf KKBD.

Monday, December 7, 2009

ZIARAH UKHWAH OLEH AHLI BIRO DAKWAH KKBD KE RUMAH EN.FIRDAUS

Rakan-rakan Biro Dakwah KKBD menziarahi staf KKBD yang mengalami kecederaan semasa menyertai Pertandingan Bola Sepak Liga Tempatan petang semalam (6/12/2009). En.Mohd Firdaus mengalami kecederaan di tangan dan telah menerima rawatan di Hospital Jitra. Semoga beliau cepat sembuh dan kembali sihat.
Sama-samalah kita semua doakan agar beliau diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian dari-Nya.

"Sesungguhnya seorang Muslim yang menziarahi saudaranya yang Muslim akan sentiasa di dalam kebun buah-buahan syurga sehingga ia pulang." [Riwayat Muslim]

"Tidak ada seorang Muslim yang menziarahi seorang Muslim pada pagi-pagi hari kecuali berselawat kepadanya tujuh puluh ribu malaikat hingga sampai ke petang dan jika dia ziarah pada waktu petang kecuali berselawat kepadanya tujuh puluh malaikat hingga dia berpagi-pagi dan dia mempunyai kebun buah-buahan di dalam syurga." [Riwayat At-Tirmidzi ]

Saturday, December 5, 2009

Membaca dan Mengamalkan al-Quran Umpama Wangian Kasturi


Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Belajarlah al-Quran serta bacalah kerana perumpamaan al-Quran bagi orang yang mahu belajar, membaca dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat. Dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup."

[Riwayat al-Tirmizi]

Tuesday, November 24, 2009

SIFAT-SIFAT WALI ALLAH


Wali-wali Allah itu adalah orang yang memiliki di antaranya sifat-sifat berikut:

1. Menunggu azan dengan penuh kerinduan;

2. Datang lebih awal sebelum takbiratul ihram sebagai tanda solat dimulai;

3. Menyesal jika tidak berada di saf pertama;

4. Berusaha untuk selama mungkin duduk di masjid/surau;

5. Hatinya bersih;

6. Tampak pada dirinya tanda-tanda sunnah;

7. Banyak berzikir;

8. Menciptakan suasana yang Halal;

9. Meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat;

10. Puas dengan keperluan hidup yang paling dasar;

11. Memanfaatkan seluruh hidupnya untuk mempelajari wahyu, baik dari Al-Quran mahupun sunnah;

12. Penampilan muka yang selalu bersinar-sinar;

13. Turut merasakan musibah yang menimpa sesama muslimin;

14. Meninggalkan masalah-masalah khilafiyyah;

15. Sabar dalam menghadapi kesulitan;

16. Cekal dalam melakukan ma'ruf.

Kebersahajaan dalam hidup adalah hal yang terbaik, tidak memiliki kekayaan yang membuatkannya melewati batas dan tidak pula fakir hinggakan membuatnya lupa akan Allah. Tetapi cukuplah yang dapat memenuhi keperluan, dan memenuhi tuntutan kesihatan, dan memenuhi tujuan hidup. Seperti itulah hidup yang memberikan tindak balas yang agung dan makanan yang memberikan faedah yang paling baik.

Ukuran kecukupan dalam penghidupan adalah yang mempunyai rumah atau tempat tinggal, isteri yang memberikan keteduhan, dan kenderaan yang baik. Ia memiliki harta yang cukup untuk memenuhi keperluan hidup secara layak.


(Sumber: "Kitab Don't Be Sad" tulisan Dr. 'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni)

Wednesday, September 16, 2009

Khatam Al-Quran



Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang sangat-sangat pemurah (dan sentiasa bersedekah), lebih-lebih lagi kemurahannya dan sedekah pemberiannya dalam bulan Ramadhan, ketika malaikat Jibril datang menemuinya. Baginda ditemui oleh Jibril tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Qur'an bersama. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. sangat-sangat bermurah hati dan sentiasa mengerjakan kebajikan (dengan tidak bertangguh lagi), lebih deras daripada hembusan angin (pembawa rahmat)"
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)



Alhamdulillah. Detik 1.05 petang tadi, staf muslimin Kolej Komuniti Bandar Darulaman berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran. Bagi staf muslimat, mereka berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran sehari lebih awal.

Tahniah kepada seluruh staf yang terlibat dalam memartabatkan bacaan Al-Quran di kolej ini sempena bulan Ramadhan yang mulia ini.

Diharapkan program ini dapat diteruskan di masa akan datang walaupun di luar bulan Ramadhan agar keberkatan hasil daripada bacaan Al-Quran secara bertadarus ini dalam merahmati dan memberkati kehidupan kita semua.

Sesungguhnya bertadarus ini adalah amalan sunnah seperti yang terkandung dalam hadis di atas.

Monday, September 7, 2009

BEKERJA DENGAN IKHLAS

Tiada penyelewengan:
Pekerja yang ikhlas tidak perlu dipantau oleh punch card, CCTV dan peraturan-peraturan yang ketat untuk menghalangnya daripada rasuah, ponteng, curi tulang dan lain-lain perbuatan negatif kerana dia merasakan dirinya diawasi oleh Allah. Walaupun begitu, tidak salah menggunakan sistem pemantau luaran ketika sifat ikhlas sedang dalam pembinaan. Itu juga membantu proses mujahadah untuk mendapat keikhlasan.

Hubungan Harmoni Sesama Rakan Sekerja:
Orang yang ikhlas tidak akan mengampu, mengadu domba, sabotaj, mengumpat apalagi memfitnah sesama rakan sekerja. Cinta dunia adalah "big boss (kepala)" kejahatan. Orang yang ikhlas hanya mengharapkan keredhaan Allah dan tidak ada sebab untuk mereka menzalimi orang lain demi mendapat pujian, pangkat dan ganjaran material. Tempat di sisi Allah sentiasa luas dan tidak perlu berebut-rebut berbanding tempat di dunia yang sempit lagi terhad.

Taat Orang Atasan, Hormat Orang Bawahan:
Orang yang ikhlas akan mentaati atasannya selagi perintah, teguran dan keputusan atasannya tidak bercanggah dengan syariat. Ketaatan itu bukan bermakna untuk mengampu sebaliknya dilakukan atas dasar taat kepada Allah. Begitu juga, mereka akan menghormati orang bawahannya, mengasihi dan tidak menzaliminya. Mereka faham pemimpin adalah "khadam ummah" bukan memperalatkan orang bawahan untuk kepentingan peribadi.

Yakin dan Berani Memberi Pendapat dan Pendirian:
Ketaatan dalam Islam tidak menutup pintu perbincangan atau mesyuarat untuk menyatakan pandangan dan pendirian. Justeru, orang yang ikhlas tidak teragak-agak untuk menyatakan pendiriannya apabila kena pada tempat, masa dan suasananya. Apa yang dirasakan benar dinyatakannya dengan jelas dan beradab sekalipun pahit. Dia tidak akan bermuka-muka. Kata-katanya adalah dari hati dan bukan "ambil hati". Dan dia bertanggungjawab atas pendiriannya, bukan bersifat "lempar batu sembunyi tangan".

Saturday, August 29, 2009

MARI BERTADARUS


Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang sangat-sangat pemurah (dan sentiasa bersedekah), lebih-lebih lagi kemurahannya dan sedekah pemberiannya dalam bulan Ramadhan, ketika malaikat Jibril datang menemuinya. Baginda ditemui oleh Jibril tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Qur'an bersama. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. sangat-sangat bermurah hati dan sentiasa mengerjakan kebajikan (dengan tidak bertangguh lagi), lebih deras daripada hembusan angin (pembawa rahmat)"

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)


" Setiap tahun sekali biasanya Jibril menyemak al-Quran denganku, tetapi pada tahun ini beliau menyemak denganku sebanyak 2 kali dan aku tidak menyangka demikian kecuali sudah dekat akan ajalku "
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

" ... dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah, sedang mereka membaca kitab Allah, serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan turun kepada mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh limpahan rahmat, mereka pula dilingkungi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya".
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)



Demikianlah beberapa rantaian hadis berkaitan pembacaan Al-Quran. Nabi s.a.w sendiri mengerjakan amalan bertadarus di bulan Ramadhan bersama malaikat Jibril a.s, mengapa kita sebagai umat akhir zaman ini begitu berat untuk bertadarus? Nabi s.a.w setiap Ramadhan akan menyemak bacaan dan kandungan al-Quran yang diwahyukan kepada Baginda agar tidak salah disampaikan kepada umat Baginda. Kita? Apa salahnya kita luangkan sedikit masa untuk menyemak bacaan kita di bulan yang mulia ini dengan mengikuti aktiviti bertadarus yang dianjurkan samada di masjid, surau, atau di tempat-tempat kerja kita.


Biro Dakwah Kolej Komuniti Bandar Darulaman mengajak seluruh muslimin dan muslimat di KKBD untuk menyertai program tadarus yang sedang berjalan sepanjang bulan Ramadhan ini.

Muslimin: Surau Aras Bawah (1.00pm - 2.00 pm)

Muslimat: Surau Aras 2 (1.00pm - 2.00pm)


Bersama mengimarahkan Ramadhan Nul-Kareem. InsyaAllah.



Wednesday, August 26, 2009

UNTAIAN HADIS BERKENAAN PUASA


Hadis Pertama
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."


Hadis Kedua
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."


Hadis Ketiga
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."


Hadis Keempat
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."


Hadis Kelima
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur."


Hadis Keenam
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (dari sudut syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."



ISTIMEWANYA PUASA, INDAHNYA ISLAM


Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.)

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan.

Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."[Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah]

Berikut disenaraikan beberapa keistimewaan puasa di dalam Islam;

Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w,
“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.

Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.


Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.

Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.

Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.

Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.

Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya”.

Sama-samalah kita meneruskan ibadat puasa wajib di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga puasa kita dan ibadat kita diterima oleh Allah dan terhindar daripada golongan yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata.