Monday, September 7, 2009

BEKERJA DENGAN IKHLAS

Tiada penyelewengan:
Pekerja yang ikhlas tidak perlu dipantau oleh punch card, CCTV dan peraturan-peraturan yang ketat untuk menghalangnya daripada rasuah, ponteng, curi tulang dan lain-lain perbuatan negatif kerana dia merasakan dirinya diawasi oleh Allah. Walaupun begitu, tidak salah menggunakan sistem pemantau luaran ketika sifat ikhlas sedang dalam pembinaan. Itu juga membantu proses mujahadah untuk mendapat keikhlasan.

Hubungan Harmoni Sesama Rakan Sekerja:
Orang yang ikhlas tidak akan mengampu, mengadu domba, sabotaj, mengumpat apalagi memfitnah sesama rakan sekerja. Cinta dunia adalah "big boss (kepala)" kejahatan. Orang yang ikhlas hanya mengharapkan keredhaan Allah dan tidak ada sebab untuk mereka menzalimi orang lain demi mendapat pujian, pangkat dan ganjaran material. Tempat di sisi Allah sentiasa luas dan tidak perlu berebut-rebut berbanding tempat di dunia yang sempit lagi terhad.

Taat Orang Atasan, Hormat Orang Bawahan:
Orang yang ikhlas akan mentaati atasannya selagi perintah, teguran dan keputusan atasannya tidak bercanggah dengan syariat. Ketaatan itu bukan bermakna untuk mengampu sebaliknya dilakukan atas dasar taat kepada Allah. Begitu juga, mereka akan menghormati orang bawahannya, mengasihi dan tidak menzaliminya. Mereka faham pemimpin adalah "khadam ummah" bukan memperalatkan orang bawahan untuk kepentingan peribadi.

Yakin dan Berani Memberi Pendapat dan Pendirian:
Ketaatan dalam Islam tidak menutup pintu perbincangan atau mesyuarat untuk menyatakan pandangan dan pendirian. Justeru, orang yang ikhlas tidak teragak-agak untuk menyatakan pendiriannya apabila kena pada tempat, masa dan suasananya. Apa yang dirasakan benar dinyatakannya dengan jelas dan beradab sekalipun pahit. Dia tidak akan bermuka-muka. Kata-katanya adalah dari hati dan bukan "ambil hati". Dan dia bertanggungjawab atas pendiriannya, bukan bersifat "lempar batu sembunyi tangan".

No comments:

Post a Comment