Sunday, August 30, 2009

STATUS INSURAN MCIS ZURICH

MCIS Zurich Insurance (MCIS) didaftarkan dibawah Akta Insurans 1996 dan bukannya dibawah Akta Takaful 1984. Oleh yang demikian, MCIS bukanlah salah satu pengendali takaful yang didaftarkan dibawah Akta Takaful 1984 dan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memasarkan produk-produk yang berlandarkan shariah.

Kekeliruan terjadi apabila produk yang dipasarkan bertujuan sebagai pelaburan (investment) dan perlindungan (protection). Walaupun bahagian pelaburan produk perkenaan adalah berlandarkan shariah tetapi bahagian perlindungan yang diberikan oleh pengendali insurans tersebut bukanlah berlandaskan shariah, dimana perlindungan yang diberikan masih terdapat unsur-unsur gharar, judi dan riba. Oleh kerana kedua-dua elemen ini berada dalam satu produk, maka, produk ini tidak dikategorikan sebagai produk yang berlandaskan shariah.

Sekian, terima kasih.

Noor Shuhaila Hj Johari
BNMTELELINK
Jabatan Komunikasi Korporat
Bank Negara Malaysia
No Tel : 1-300-88-5465
No Faks : 03-21741515

Saturday, August 29, 2009

MARI BERTADARUS


Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang sangat-sangat pemurah (dan sentiasa bersedekah), lebih-lebih lagi kemurahannya dan sedekah pemberiannya dalam bulan Ramadhan, ketika malaikat Jibril datang menemuinya. Baginda ditemui oleh Jibril tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Qur'an bersama. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. sangat-sangat bermurah hati dan sentiasa mengerjakan kebajikan (dengan tidak bertangguh lagi), lebih deras daripada hembusan angin (pembawa rahmat)"

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)


" Setiap tahun sekali biasanya Jibril menyemak al-Quran denganku, tetapi pada tahun ini beliau menyemak denganku sebanyak 2 kali dan aku tidak menyangka demikian kecuali sudah dekat akan ajalku "
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

" ... dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah, sedang mereka membaca kitab Allah, serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan turun kepada mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh limpahan rahmat, mereka pula dilingkungi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya".
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)



Demikianlah beberapa rantaian hadis berkaitan pembacaan Al-Quran. Nabi s.a.w sendiri mengerjakan amalan bertadarus di bulan Ramadhan bersama malaikat Jibril a.s, mengapa kita sebagai umat akhir zaman ini begitu berat untuk bertadarus? Nabi s.a.w setiap Ramadhan akan menyemak bacaan dan kandungan al-Quran yang diwahyukan kepada Baginda agar tidak salah disampaikan kepada umat Baginda. Kita? Apa salahnya kita luangkan sedikit masa untuk menyemak bacaan kita di bulan yang mulia ini dengan mengikuti aktiviti bertadarus yang dianjurkan samada di masjid, surau, atau di tempat-tempat kerja kita.


Biro Dakwah Kolej Komuniti Bandar Darulaman mengajak seluruh muslimin dan muslimat di KKBD untuk menyertai program tadarus yang sedang berjalan sepanjang bulan Ramadhan ini.

Muslimin: Surau Aras Bawah (1.00pm - 2.00 pm)

Muslimat: Surau Aras 2 (1.00pm - 2.00pm)


Bersama mengimarahkan Ramadhan Nul-Kareem. InsyaAllah.



Thursday, August 27, 2009

KERANA ILMU MEREKA RELA MEMBUJANG

"Saya berpendapat, bagi seorang penuntut ilmu pemula hendaknya ia menahan untuk tidak menikah sebisa mungkin. Sesungguhnya Imam Ahmad bin Hanbal tidak menikah hingga berumur 40 tahun. Semua itu dilakukan demi ilmu."
(Ibnu Jauzi)

"Dianjurkan bagi seorang penuntut ilmu untuk membujang sebisa mungkin, agar dalam mencari ilmu ia tidak disibukkan dengan hak-hak keluarga yang harus ia penuhi dan disibukkan dengan mencari penghidupan."
(Khatib al-Baghdadi)

Memilih hidup membujang kerana ingin berkonsentrasi menggeluti ilmu merupakan sebuah pilihan hidup yang luar biasa. Desah-desah syahwat yang pada sebahagian orang justeru men­jadi raja yang menguasai hati, berhasil terpinggirkan kerana dominasi cinta terhadap ilmu yang begitu menggumpal dalam relung-relung hati. Itulah sebuah catatan indah yang pernah tergoreskan dalam sejarah hidup sebahagian para ulama sebagai pewaris para nabi. Imam Nawawi, Ibnu Taimiyah dan Imam At-Tabari termasuk sebahagian ulama yang ‘berijtihad’ terhadap diri mereka sendiri untuk tidak menikah kerana ilmu. Dan sekali lagi, ini merupakan sebuah pilihan hidup yang luar biasa!

Pilihan mereka untuk hidup membujang daripada menikah, dengan keilmuan, kesolehan, kejantanan dan kenormalan mereka, tak lain kerana mereka lebih mendahulukan orang lain daripada diri mereka sendiri. Agar mereka dapat mencurahkan segenap kemampuan mereka guna berkhidmat untuk din dan ilmu. Agar mereka dapat mengerahkan segenap usahanya untuk menjabarkan syariat yang mulia ini, menyusunnya serta menyajikannya kepada banyak orang. Tak diragukan lagi bahawa sikap itsar (mendahulukan orang lain daripada diri sendiri) ini disyariatkan dalam Islam dan terpuji bagi pelakunya. Betapa banyak mereka memiliki anugerah dan keutamaan di pundak para ulama dan manusia.

Yusuf al-Qawwas menuturkan, "Aku mendengar Abu Bakar An-Naisaburi berkata, 'Tahukah kamu orang yang bermukim selama 40 tahun, tak pernah tidur di malam hari, makan sehari hanya dengan 5 biji kurma dan solat subuh dengan wuduk solat Isyak?' Ia melanjutkan, 'Itulah aku. Itu sebelum aku mengenal Ummu Abdurrahman...' "

"Ilmu mula menghilang di paha-paha wanita."

(Bisyr Al-Hafi)

"Barangsiapa yang terbiasa dengan paha-paha wanita, ia tak akan mendapatkan apa-apa."
(Ibrahim bin Adam)

Bila menikah dapat menahan pandangan dan menjaga kemaluan, maka Allah telah memuliakan mereka dengan pakaian ketaqwaan, kesolehan dan kezuhudan. Allah memberikan perhiasan kepada meeka dengan perhiasan ilmu dan amal. Kebaikan mereka tersebut telah mengarahkan kepada semua itu, berkat kurnia dan rahmatNya.

Bila bersanding dengan isteri dapat memberikan kenyamanan pada diri sang suami, maka mereka memandang bahawa berdampingan dengan kitab dan ilmu dapat memberikan kenyamanan seperti itu pula atau bahkan lebih dari itu. Sehingga sebahagian dari mereka ada yang mengungkapkan:



Dipetik dari : http://tamanulama.blogspot.com/

Wednesday, August 26, 2009

KURSUS RAWATAN ISLAM MENANGANI GANGGUAN MAKHLUK HALUS


TAJUK KURSUS:
Kursus Rawatan Terapi al-Quran (Santau, Sihir, Makhluk Halus)

PENYAMPAI:
Tuan Guru Ustaz Abdul Malek Bin Haji Ladzim Al-Azhari

YURAN:
RM 120.00 (Ringgit: Seratus dan Dua Puluh Sahaja)- Bayaran Tunai untuk 6 slot. Dibayar pada hari pertama (pendaftaran) kursus.

6 Siri/Slot seperti berikut:
1/8/2009 , 15/8/2009, 5/9/2009, 3/10/2009, 17/10/2009, dan 31/10/2009

TEMPAT KURSUS:
Dewan Syarahan, Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Jitra, Kedah

PENDAFTARAN:
Sila Hubungi Unit Kursus Pendek KKBD, 04 9182524

Tuan-tuan yang berminat juga boleh memberikan butiran-butiran yang diperlukan pada ruang 'comments' pada posting ini untuk dipanjangkan kepada urusetia kursus berkenaan. Butiran seperti berikut diperlukan:
1. Nama Penuh:
2. No. K/P:
3. No. Telefon Bimbit/Rumah:
4. Alamat Tempat Tinggal:


BIODATA

Tuan Guru Ustaz Hj Abd Malek Ladzim mendapat didikan secara formal diperingkat Diploma Syariah Islamiah dari Institut Agama Islam Negeri Kedah (sekarang dinamakan Kolej Universiti INSANIAH) dan ke Universiti Al-Azhar dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Syariah Islamiah. Minat beliau dalam bidang akademik diteruskan dengan melanjutkan ke peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang M.S.C (Master of Science Islamic Finance). Sekarang beliau bergiat aktif dalam usaha dakwah termasuk dalam bidang perubatan Islam setelah mendapat ijazah keizinan daripada beberapa orang guru di Malaysia dan Mesir termasuk Syeikh Wahid bin Abd Salam Bali ketika beliau menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.Kini beliau menjalankan rawatan di Pusat Rawatan Darul Hikmah no 16 Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan, Jln Tun Razak Alor Star 05460 Kedah 019-471 5232

UNTAIAN HADIS BERKENAAN PUASA


Hadis Pertama
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."


Hadis Kedua
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."


Hadis Ketiga
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."


Hadis Keempat
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."


Hadis Kelima
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur."


Hadis Keenam
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (dari sudut syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."



ISTIMEWANYA PUASA, INDAHNYA ISLAM


Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.)

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan.

Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."[Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah]

Berikut disenaraikan beberapa keistimewaan puasa di dalam Islam;

Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w,
“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.

Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.


Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.

Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.

Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.

Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.

Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya”.

Sama-samalah kita meneruskan ibadat puasa wajib di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga puasa kita dan ibadat kita diterima oleh Allah dan terhindar daripada golongan yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata.




FADHILAT TARAWIH

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (k.w.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan :

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.


5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.


6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.


8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.


9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.


11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.


12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.


15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.


16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.


18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.


21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.


27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.


29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.


30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.