Tuesday, November 24, 2009

SIFAT-SIFAT WALI ALLAH


Wali-wali Allah itu adalah orang yang memiliki di antaranya sifat-sifat berikut:

1. Menunggu azan dengan penuh kerinduan;

2. Datang lebih awal sebelum takbiratul ihram sebagai tanda solat dimulai;

3. Menyesal jika tidak berada di saf pertama;

4. Berusaha untuk selama mungkin duduk di masjid/surau;

5. Hatinya bersih;

6. Tampak pada dirinya tanda-tanda sunnah;

7. Banyak berzikir;

8. Menciptakan suasana yang Halal;

9. Meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat;

10. Puas dengan keperluan hidup yang paling dasar;

11. Memanfaatkan seluruh hidupnya untuk mempelajari wahyu, baik dari Al-Quran mahupun sunnah;

12. Penampilan muka yang selalu bersinar-sinar;

13. Turut merasakan musibah yang menimpa sesama muslimin;

14. Meninggalkan masalah-masalah khilafiyyah;

15. Sabar dalam menghadapi kesulitan;

16. Cekal dalam melakukan ma'ruf.

Kebersahajaan dalam hidup adalah hal yang terbaik, tidak memiliki kekayaan yang membuatkannya melewati batas dan tidak pula fakir hinggakan membuatnya lupa akan Allah. Tetapi cukuplah yang dapat memenuhi keperluan, dan memenuhi tuntutan kesihatan, dan memenuhi tujuan hidup. Seperti itulah hidup yang memberikan tindak balas yang agung dan makanan yang memberikan faedah yang paling baik.

Ukuran kecukupan dalam penghidupan adalah yang mempunyai rumah atau tempat tinggal, isteri yang memberikan keteduhan, dan kenderaan yang baik. Ia memiliki harta yang cukup untuk memenuhi keperluan hidup secara layak.


(Sumber: "Kitab Don't Be Sad" tulisan Dr. 'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni)

Saturday, November 21, 2009

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH SEPULUH HARI PERTAMA.



Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda.
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”.
Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.


JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.


Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.


Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.


Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

Dipetik dari : http://mufti.islam.gov.my/terengganu/

Wednesday, October 7, 2009

ADAB TIDUR RASULULLAH PERISAI UNTUK ELAK SIHIR


Tidur dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, sekiranya seseorang itu tidur mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Bagi memperjelaskan soalan anda, eloklah jika kita dapat melihat gambaran sunnah Nabi SAW dan adab-adab tidur seperti yang dikemukakan dalam kitab Syamail Muhammad SAW.

Antara hadis yang menerangkan adab tidur Nabi SAW adalah sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: “Jika kamu akan tidur maka berwuduklah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti doa yang dijelaskan selepas ini) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu).”

Dalam sebuah hadis diterangkan: Al-Barra’ bin Azib berkata: “Adalah Rasulullah SAW jika akan tidur, mengiring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca: Maksudnya: “Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan menghadapkan mukaku kepada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu dan menyandarkan belakangku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu kecuali kembali kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus.”(Hadis riwayat Bukhari).

Dalam riwayat yang berasingan yang turut diriwayatkan oleh Al-Bara’ bin ‘Azib, beliau berkata: “Se sungguhnya Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan meletakkan telapak tangannya yang kanan di bawah pipinya yang kanan, lalu berdoa: “Rabbi qinii ‘adzaabaka yawma tab’atsu ‘ibaadaka (Ya Tu hanku, peliharalah aku dari azab-Mu pada hari Kau bangkitkan seluruh hamba-Mu).”(HR. At-Tirmidzi).

Hudzaifah pula meriwayatkan: “Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, maka Baginda berdoa: “Allahumma bismika amuutu wa ahyaa (Ya Allah, dengan Asma-Mu aku mati dan aku hidup).” Dan jika bangun dari tidurnya beliau berdoa: “Alhamdu lillaahill adzii ahyaanaa ba’da maa amaatanaa wa ilayhin-nu syuur (Segala puji bagi Allah, yang telah menghidup kan aku kembali setelah mematikan aku, dan kepada- Nya tempat kembali).” (HR. At-Tirmidzi).

Menurut Ummul Mukminin Aisya, yang berkata: “Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan menghimpunkan kedua-dua telapak tangannya, lalu meniup kedua-duanya dan dibaca pada kedua-duanya surat Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua-dua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan badannya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali.”(HR. At- Tirmidzi , lihat Kitab Sya mail Muhammad cetakan Telaga Biru, halaman 167-168).

Walaupun kita digalakkan mendahulukan posisi tidur di atas sisi sebelah kanan (rusuk kanan) dan berbantal dengan tangan kanan, namun tidaklah menjadi masalah apabila berubah posisinya ke sebelah sisi kiri. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah: “Berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu.”(HR. Al-Bukhari dan Muslim).

Arahan Nabi dalam hadis ini bukanlah merujuk kepada suatu yang wajib kerana dalam kesempatan yang lain Rasulullah SAW juga pernah mengubah kedudukan tidur Baginda. Dalam hadis yang sahih ini, Rasulullah sudah melakukan tidur secara terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagai mana maksud hadis: “Daripada ‘Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah SAW tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain.”(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Berkaitan dengan tidur telungkup pula ada sebuah hadis yang merujuk kepada tegahan Nabi SAW. Hadis ini bermaksud : “Tidak dibenarkan telungkup dengan posisi perut sebagai tumpuannya sama ada ketika tidur malam atau pun tidur siang. “Sesungguhnya (posisi tidur telungkup) seperti itu adalah posisi tidur yang dimurkai Allah Azza Wa Jalla.” (HR. Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Sebagai tambahan, satu huraian lanjut yang bermanfaat untuk diketahui oleh setiap Muslim, ada beberapa lagi adab yang dituntut amalannya sebelum tidur agar tidur itu menjadi ibadat di sisi Allah SWT.

Ini disebabkan tidur adalah aktiviti harian yang tidak khusus kepada anak-anak. Menurut Ab Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Kitab Ensiklopedia Adab Islam, antara adab tidur yang menjadi amalan Nabi SAW dan salafussoleh ialah:

Mengikhlaskan niat supaya tidur itu untuk memberi kekuatan untuk beramal selepas bangkit kelak.

Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat manusia.

Elakkan tidur sewaktu kekenyangan.

Tidur dalam keadaan suci.

Tidur dalam keadaan berwuduk.

Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan Nabi SAW sebelum tidur.

Bercelak dengan celak. Ini berdasarkan hadis yang yang bermaksud: Hendaklah kamu tidur dengan bercelak kerana ia dapat mencerahkan pandangan dan melebatkan bulu mata. – (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al- Hakim).

Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur. Ini adalah berpandukan ke pada hadis riwayat Ahmad yang bermaksud: “Orang yang tidak tidur sehingga dia mengerjakan solat witir adalah orang yang bertekad kuat.

Mengibas tempat pembaringan dengan hujung kain dan mengucapkan Bismillah seperti riwayat al-Tirmizi.

Bersiwak atau bersugi ketika bangun pada malam hari seperti yang diriwayatkan dari Ibn Adiy.
Sebagai kesimpulannya ada beberapa amalan yang wajar dilakukan bagi menjadikan tidur kita sebagai sumber kerehatan dan sebab mendapat reda-Nya. Manakala posisi tidur yang digalakkan berpandukan kepada hadis adalah di atas dada bahagian kanan. Kemudian perubahan yang berlaku dalam posisi selepas itu tidaklah menjadi masalah selagi tidak berkeadaan telungkup. Wallahu a’lam.

Monday, October 5, 2009

Istibra'


Assalamualaikum wbt>>

Pihak Biro Dakwah KKBD ingin berkongsi sedikit info Fikh.. Ini kerana zaman sekarang ramai yang tidak mengambil berat tentang hal ini iaitu:

Istibra' (Membersihkan sisa-sisa air kencing di dalam zakar)

Istibra' dilakukan dengan cara:
• Mengusap dengan kuat antara lubang dubur dan zakar sebanyak tiga kali . Usapan hendaklah dilakukan sehala saja dari arah dubur ke telur zakar.
• Meletakkan telunjuk di bawah batang zakar dan ibu jari di atas batang zakar dan lalu mengusapkannya dengan tekanan hingga ujung zakar sebanyak tiga kali
• Menekan ujung zakar [kepala zakar] tiga kali. Dilakukan seperti memerah kepala zakar, untuk mengeluarkan sisa-sia air kencing.
Jika setelah istibra' keluar cairan yang meragukan apakah air kencing atau bukan maka dianggap suci dan tidak membatalkan wudhu tetapi jika tidak istibra', maka dihukumi najis dan membatalkan wudhu'. Antara manfaat amalan Istibra' ialah mencegah masalah Prostate dan masalah radang jangkitan pada saluran kencing.

Mencegah sambil merawat.

Wednesday, September 30, 2009

HARTA OH HARTA !!


Nabi SAW mengingatkan kita bahawa :

إن لكل أمة فتنة , وفتنة أمتي المال

Ertinya : "Sesungguhnya bagi setiap umat itu cabaran dan ujian, dan ujian bagi umatku adalah harta" ( Riwayat At-Tirmizi, no 2337 ; Ibn Hibban , Al-Hakim : Sohih menurut Al-Hakim dan disepakati Az-Zahabi. Hasan Menurut Tirmidzi)

Al-Qaradawi mengatakan, godaan harta bukan pada mengumpul dan mendapatkannya melalui cara yang halal dan menjaga kewajiban agama, tetapi adalah dalam ke'gila'aan mendapatkannya, mencarinya dan menyimpannya walaupun dari jalan yang haram. Selain itu, ia juga tidak endah untuk membelanjakannya walaupun dengan cara yang haram asalkan berbaloi menurut aqalnya, tiada pertimbangan halal dalam hatinya.

Sebagaimana yang digambarkan oleh Allah, salah satu tanda kehilangan keberkatan dalam perolehan harta adalah :-

أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ , إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: ""(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )

Inilah sikap kebanyakan hartawan dan jutawan Muslim (yang bukan Muslim sudah tentu bukan fokus kita) di seluruh dunia. Apabila mereka berada di puncak kekayaan, ramai di antara mereka tidak memandang penting kepada unsur keberkatan, halal dan peraturan dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah, kerap kali mereka anggap perbincangan seperti ini adalah kuno dan ketinggalan zaman.

Allah menegaskan :-

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" ( Al-Kahfi : 46 )

Menurut Syeikh Ibn Asyur ayat dari surah Kahfi di atas mengingatkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat untung yang banyak ia belum pasti lagi menggembirakan anda di barzakh kerana ia mungkin sesuatu yang haram.

Jika pertimbangan keduniaan menguasai diri, ia adalah suatu tanda dan bukti umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti terhadap kebenaran alam barzakh dan akhirat. Sesuatu yang haram dan syubhat amat zalim kepada Allah SWT walaupun amat menarik di sisi mata dan hati manusia.

Allah mengingatkan kita lagi bahawa :

انظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَلَلآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلاً

Ertinya : "Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain dalam perolehan harta). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya." ( Al-Isra : 21 )