Thursday, December 10, 2009

PROGRAM UKHUWAH KKBD BERMULA




"...orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana banggunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.."

"...orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya..."

Sesungguhnya Islam memandang sangat mustahak untuk membentuk ikatan-ikatan perpaduan di kalangan penganut-penganutnya. Ikatan-ikatan ini dinamakan “Usrah” atau “Keluarga”.

Dengan terbentuknya apa yang dinamakan “Usrah” atau “Keluarga” seperti itu akan dapatlah dipimpin penganut-penganut Islam tadi ke arah keimanan yang kukuh, dan dapatlah pula diperkuatkan ikatan-ikatan yang ada pada mereka, bahkan akan dapatlah dipertinggikan mutu “Ukhuwah” atau “Persaudaraan” di antara sesama mereka sendiri.

Oleh itu, sebagai umat Islam, kita juga hendaklah turut memandang berat serta Bersedia untuk menjadi batu-bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga yang mulia ini; iaitu “Usrah Islamiah” atau “Keluarga Islam”.

Di peringkat KKBD, Program Usrah ini dinamakan sebagai "Ukhuwah KKBD" yang bertujuan untuk menjalin dan merapatkan hubungan sesama staf ke arah kesempurnaan hidup beragama. Program Ukhuwah KKBD yang dianjurkan oleh Biro Dakwah KKBD sudah mula mengorak langkah awal dalam usaha yang murni ini.

Semoga terlaksananya program sebegini, kita sesama umat Islam dapat saling ingat memperingati antara satu dengan yang lain ke arah mencapai redha Allah semata-mata.

Semua muslimin di KKBD dijemput bersama-sama meluangkan sedikit masa menyertai Program Ukhuwah KKBD. Keterangan lanjut boleh menghubungi Ketua Biro Dakwah KKBD (En. Mohd Syukur).

Wednesday, December 9, 2009

KELAS TAJWID: SEMUA STAF DIJEMPUT HADIR



Sabda (maksudnya) Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik di kalangan kamu orang yang belajar Al Quran dan mengajarkannya (kepada orang lain)."
[Riwayat Al-Bukhari]

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

" Orang yang mahir Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan sulit(susah)dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan).
[Riwayat Muslim]



Majlis ilmu yang dianjurkan oleh Biro Dakwah KKBD dan disampaikan oleh Ustaz Mohd Rosmaidi.

Berikut maklumat berkaitan:

Hari: Setiap Hari Selasa
Masa: Selepas Solat Zohor Berjemaah
Tempat: Surau KKBD

***Sebarang perubahan bakal dimaklumkan...InsyaAllah.


Semua staf KKBD (muslimin / muslimat) dijemput mengimarahkan majlis ilmu ini. Amat besar ganjaran yang dijanjikan kepada barangsiapa yang belajar dan mengajar Al-Quran ini.

Semoga usaha sebegini dapat mempertingkatkan kualiti ibadat dan merapat ukhuwah di kalangan staf KKBD.

Monday, December 7, 2009

ZIARAH UKHWAH OLEH AHLI BIRO DAKWAH KKBD KE RUMAH EN.FIRDAUS

Rakan-rakan Biro Dakwah KKBD menziarahi staf KKBD yang mengalami kecederaan semasa menyertai Pertandingan Bola Sepak Liga Tempatan petang semalam (6/12/2009). En.Mohd Firdaus mengalami kecederaan di tangan dan telah menerima rawatan di Hospital Jitra. Semoga beliau cepat sembuh dan kembali sihat.
Sama-samalah kita semua doakan agar beliau diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian dari-Nya.

"Sesungguhnya seorang Muslim yang menziarahi saudaranya yang Muslim akan sentiasa di dalam kebun buah-buahan syurga sehingga ia pulang." [Riwayat Muslim]

"Tidak ada seorang Muslim yang menziarahi seorang Muslim pada pagi-pagi hari kecuali berselawat kepadanya tujuh puluh ribu malaikat hingga sampai ke petang dan jika dia ziarah pada waktu petang kecuali berselawat kepadanya tujuh puluh malaikat hingga dia berpagi-pagi dan dia mempunyai kebun buah-buahan di dalam syurga." [Riwayat At-Tirmidzi ]

Saturday, December 5, 2009

Membaca dan Mengamalkan al-Quran Umpama Wangian Kasturi


Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Belajarlah al-Quran serta bacalah kerana perumpamaan al-Quran bagi orang yang mahu belajar, membaca dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat. Dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup."

[Riwayat al-Tirmizi]

Tuesday, November 24, 2009

SIFAT-SIFAT WALI ALLAH


Wali-wali Allah itu adalah orang yang memiliki di antaranya sifat-sifat berikut:

1. Menunggu azan dengan penuh kerinduan;

2. Datang lebih awal sebelum takbiratul ihram sebagai tanda solat dimulai;

3. Menyesal jika tidak berada di saf pertama;

4. Berusaha untuk selama mungkin duduk di masjid/surau;

5. Hatinya bersih;

6. Tampak pada dirinya tanda-tanda sunnah;

7. Banyak berzikir;

8. Menciptakan suasana yang Halal;

9. Meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat;

10. Puas dengan keperluan hidup yang paling dasar;

11. Memanfaatkan seluruh hidupnya untuk mempelajari wahyu, baik dari Al-Quran mahupun sunnah;

12. Penampilan muka yang selalu bersinar-sinar;

13. Turut merasakan musibah yang menimpa sesama muslimin;

14. Meninggalkan masalah-masalah khilafiyyah;

15. Sabar dalam menghadapi kesulitan;

16. Cekal dalam melakukan ma'ruf.

Kebersahajaan dalam hidup adalah hal yang terbaik, tidak memiliki kekayaan yang membuatkannya melewati batas dan tidak pula fakir hinggakan membuatnya lupa akan Allah. Tetapi cukuplah yang dapat memenuhi keperluan, dan memenuhi tuntutan kesihatan, dan memenuhi tujuan hidup. Seperti itulah hidup yang memberikan tindak balas yang agung dan makanan yang memberikan faedah yang paling baik.

Ukuran kecukupan dalam penghidupan adalah yang mempunyai rumah atau tempat tinggal, isteri yang memberikan keteduhan, dan kenderaan yang baik. Ia memiliki harta yang cukup untuk memenuhi keperluan hidup secara layak.


(Sumber: "Kitab Don't Be Sad" tulisan Dr. 'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni)

Saturday, November 21, 2009

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH SEPULUH HARI PERTAMA.



Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda.
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”.
Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.


JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.


Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.


Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.


Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

Dipetik dari : http://mufti.islam.gov.my/terengganu/